Pulangkan Kepulauan Malvinas kepada Argentina!

2022-02-13 14:28:54  CRI
Share with:


Semasa lawatan Presiden Argentina, Alberto Fernandez ke China baru-baru ini, kedua-dua negara ini telah mengeluarkan kenyataan bersama China dan Argentina untuk memperkasakan perkongsian strategik komprehensif. Dalam kenyataan itu, China mengulangi sokongannya terhadap tuntutan Argentina terhadap kedaulatan penuhnya ke atas Kepulauan Malvinas, di samping memulihkan semula rundingan berkaitan secepat mungkin sehingga perselisihan itu dimuktamadkan secara damai.

Bagaimanapun, Setiausaha Luar Britain, Liz Truss mengeluarkan ciapan yang menyeru China "menghormati kedaulatan". Pada masa yang sama, Dewan Rakyat Britain meluluskan satu usul yang tidak mengikat di sisi undang-undang pada Khamis lalu, menyatakan rancangan untuk meningkatkan hubungan antara Britain dengan Taiwan China, dan menyokong Taiwan memperoleh lebih banyak pengiktirafan antarabangsa.

Adalah diketahui umum bahawa isu Kepulauan Malvinas merupakan isu tinggalan sejarah penjajahan. Argentina mewarisi kedaulatannya ke atas Kepulauan Malvinas apabila negara itu mencapai kemerdekaan daripada penjajah Sepanyol pada tahun 1816. Pada tahun 1833 pula, Britain yang melakukan peluasan penjajahan di Amerika Selatan menduduki Kepulauan Malvinas melalui tindakan kekerasan. Pada tahun 1965, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang memasukkan isu tersebut ke dalam kategori 'dekolonisasi', serta menggesa Britain dan Argentina mengadakan rundingan dua hala demi menyelesaikan perselisihan kedaulatan itu. Jawatankuasa Dekolonisasi PBB pula berulang kali mendesak kerajaan Britain untuk berunding dengan Argentina, namun ditolak pihak Britain.

Isu Kepulauan Malvinas merupakan isu antarabangsa antara dua negara berdaulat Britain dan Argentina. China menyokong tuntutan sah Argentina tentang kedaulatannya ke atas Kepulauan Malvinas, kerana ia selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan dan mencerminkan konsensus antarabangsa.

Manakala, isu Taiwan ialah urusan dalaman China dan ia berbeza dengan isu Kepulauan Malvinas. Hanya terdapat satu China di dunia, dan Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah China. Ini antara norma asas hubungan antarabangsa dan asas politik China untuk menjalinkan dan membangunkan hubungan diplomatik dengan negara lain. Apabila China dan Britain menjalinkan hubungan diplomatik pada 1972, pihak London dengan jelas mengiktiraf Taiwan sebagai salah satu provinsi dari Republik Rakyat China. Apa yang disebut resolusi Dewan Rakyat Britain tersebut mencabar prinsip satu China, yang bukan sahaja memungkir komitmen politik Britain terhadap China, tetapi juga melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa yang tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

Jika ahli politik Britian yang hipokrit itu benar-benar mahu 'menjunjung keadilan', pulangkahlah Kepulauan Malvinas kepada Argentina!