Malunya, Masukkan Duit Afghanistan ke Poket Sendiri

2022-02-14 14:20:45  CRI
Share with:

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, Jumaat lalu, menandatangani perintah eksekutif bagi membenarkan penggunaan aset milik Da Afghanistan Bank (DAB), iaitu bank pusat negara Asia itu.

Difahamkan, aset bernilai AS$7 bilion (RM29.3 bilion) itu bakal disalurkan kepada ahli keluarga mangsa serangan 11 September, serta digunakan untuk “bantuan kemanusiaan” di Afghanistan.

Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, dunia menjadi gempar apabila kerajaan AS dilihat berkelakuan terang-terangan seperti merompak duit yang sangat diperlukan buat rakyat Afghanistan.

Pertengahan Ogos tahun lalu, pentadbiran Biden memutuskan untuk membekukan aset kerajaan Afghanistan yang bernilai berbilion dolar disimpan di institusi kewangan AS sejurus selepas Taliban memasuki dan mengawal Kabul.

Namun, Biden tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan berhubung aset Afghanistan tersebut.

AS bagaimanapun mendakwa wang itu kebanyakannya daripada bantuan antarabangsa.

Tetapi, bantuan berkenaan sebenarnya disumbang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (WB). Rumah Putih manakah yang layak memasukkan duit tersebut ke dalam poketnya sendiri?

Sebenarnya, ada cerita di sebalik tindakan AS yang merancang menyalurkan separuh daripada aset tersebut, iaitu AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) bagi membayar pampasan ahli keluarga mangsa serangan 11 September.

Selepas 16 tahun peristiwa 11 September berlalu, kerajaan AS baru mula memberi pampasan kepada ahli keluarga mangsa berkenaan pada 2017.

Bagaimanapun, pada 2019, kerajaan mentakrifkan semula definisi “ahli keluarga mangsa” dengan meminda undang-undang, menyebabkan sesetengah mereka tidak layak menerima pampasan.

Kelakuan pentadbiran Biden yang amat keji itu harus ditolak dan dikritik. Dengan mempertahankan hak asasi sebagai nilai universal umat manusia, dunia perlu menyalurkan bantuan hakiki yang diperlukan rakyat Afghanistan.