Kenapa AS Degil Runcingkan Krisis Ukraine?

2022-02-14 11:32:32  CRI
Share with:

Amerika Syarikat (AS) dan rakan sekutunya berikrar memberi padah teruk kepada Rusia sekiranya negara itu “mencerobohi” Ukraine.

Demikian dinyatakan sekali lagi Presiden AS, Joe Biden dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin pada Sabtu lalu.

Sehubungan dengan itu, Putin berkata pihaknya tidak memahami kenapa AS sengaja menyebarkan maklumat palsu bahawa Rusia merancang “mencerobohi” Ukraine.

Pada hari sama, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky membalas dengan mengatakan tidak tercetus perang yang menyeluruh di negara itu setakat ini. Bahkan beliau mahu “negara lain” menunjukkan bukti tentang “pencerobohan” Rusia.

Menurut pandangan masyarakat antarabangsa, kemungkinan berlakunya perang antara Rusia dan Ukraine adalah tipis, kerana kedua-dua pihak menyedari ia akan membawa risiko yang tidak dapat dikawal.

Bagaimanapun, AS kelihatan tidak henti-hentinya meniupkan suasana seolah-olah peperangan bakal tercetus.

AS berbuat demikian kerana mahu menimbulkan kebimbangan negara Eropah dengan mengheboh-hebohkan “ancaman” Rusia, sehingga Eropah terutamanya negara Eropah Timur menjadi pengikutnya yang setia.

Selain itu, sudah menjadi modus operandi AS untuk menghasut konfrontansi demi mengaut keuntungan. Menurut laporan, selepas krisis Ukraine meruncing, AS bukan sahaja menghantar banyak senjata kepada Ukraine, tetapi juga membenarkan tiga negara Laut Baltik memberi peluru berpandu dan senjata lain buatan AS kepada Ukraine.

Padahal, cubaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk memperluas pengaruhnya antara faktor utama yang mencetuskan krisis antara Rusia dan Ukraine.

Dalam pada itu, adalah sewajarnya bagi Rusia menuntut NATO supaya tidak memperluas lagi pengaruh ke arah timur, serta membuat janji bertulis untuk tidak menempatkan senjata bersifat mengancam.

Walaupun mengetahui dengan sangat jelas, namun AS dan NATO yang diketuainya tidak ambil peduli sama sekali, sebaliknya mengapi-apikan ketegangan. Hal ini memaparkan dengan nyata wujudnya hegemoni dan mentaliti Perang Dingin.

Ia sekali lagi mencerminkan bahawa AS merupakan pengancam paling besar kepada keselamatan dunia.