China Lengkapkan Program Bantuan Bahan Makanan Kecemasan Kenya

2022-02-15 14:22:23  CRI
Share with:

Kenya menerima sekumpulan lagi bantuan daripada Program Bantuan Bahan Makanan China 2018 pada Isnin seberat 890 metrik tan yang bertujuan untuk membanteras isu kelaparan dan malnutrisi di negara itu.

Setiausaha Kabinet Kementerian Perkhidmatan Awam dan Jantina Kenya, Margaret Kobia yang turut pada majlis penyerahan bantuan itu merakamkan penghargaan kepada China atas sumbangan untuk mengatasi kelaparan.

Kata beliau, beras sumbangan China sebelum ini telah memberikan sokongan terhadap pelan pembekalan makanan di sekolah dan ia turut diagihkan kepada kawasan kemarau bagi meningkatkan kualiti zat makanan kanak-kanak.

Jelas Kobia, bantuan kali ini akan difokuskan untuk membantu menyelesaikan isu kekurangan bahan makanan akibat bencana kemarau.

Menteri Penasihat Kedutaan China ke Kenya, Zhang Yijun berkata, sejak pelaksanaan program bantuan tersebut dimulakan, China telah menyumbang lebih 11 ribu metrik tan beras yang bernilai USD12 juta (RM50 juta).

Tambah beliau, sejak 2011, seiring dengan penaiktarafan kerjasama strategik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kerajaan China secara keseluruhannya telah menderma bantuan bahan makanan kecemasan bernilai USD55 juta (RM230 juta) kepada Kenya.

Zhang menyatakan bahawa bantuan makanan China kepada Kenya telah membuktikan hubungan perkongsian kerjasama strategik komprehensif China-Kenya yang baik, dan China akan meningkatkan kerjasama dengan Kenya dalam pelbagai bidang untuk menghulurkan bantuan kepada Kenya dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan mendorong pembangunan sosioekonomi.  

Dengan penyerahan bantuan kumpulan kelapan itu, ia sekali gus menandakan China telah melengkapkan bantuan untuk keseluruhan program.