Media AS: Penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beri Kesan Positif China

2022-02-17 15:03:17  CRI
Share with:

The New York Times baru-baru ini menyiarkan laporan menerusi laman sesawangnya yang berpendapat penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing memberikan kesan baik bagi China.

Memetik laporan itu, China membina platform lompat ski dengan menutupi lereng bukit menggunakan keluli dan salji tiruan; membina landasan kereta api berkelajuan tinggi dengan menggali terowong dalam gunung bagi menghubungkan sebahagian lokasi pertandingan dengan pusat bandar Beijing; bahkan menjalankan pemeriksaan asid nukleik (NAT) kepada para atlet setiap hari untuk memastikan pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 berkesan. 

"Beijing selalunya menumpukan kepada pembinaan landasan kereta api, lebuh raya dan infrastruktur lain bagi menyediakan jutaan peluang pekerjaan kepada rakyatnya dan mengurangkan kos pengangkutan.

"Dengan mengambil peluang penganjuran temasya sukan kali ini, China juga berharap untuk memupuk minat rakyatnya terhadap acara sukan musim sejuk yang melibatkan ski, kurling, hoki ais dan acara lain bagi meningkatkan perbelanjaan pengguna, terutamanya di kawasan sejuk di timur laut negara ini," tambah laporan itu.

Laporan itu turut dipetik sebagai berkata, China bercita-cita menjadikan Beijing destinasi sukan musim sejuk global dengan penganjuran temasya sukan kali ini.

Pengarah Pusat Media Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Xu Hejian menyatakan keyakinan terhadap kejayaan yang tercapai dalam penganjuran temasya sukan kali ini akan membawa manfaat dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Beijing.