Sukan Musim Sejuk Saksi Perubahan Besar Menerusi Olimpik Beijing 2022: Bach

2022-02-20 20:21:20  CRI
Share with:

Sukan musim sejuk bakal menyaksikan perubahan amat besar menerusi Olimpik Beijing 2022 apabila ia berjaya menarik penyertaan 300 juta rakyat China, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

Beliau juga menyifatkan perkara itu sebagai legasi daripada penganjuran temasya kali ini.

Menurutnya, persahabatan, persefahaman dan kedamaian terserlah melalui semangat yang dipaparkan para atlet sepanjang temasya tersebut. Ia sekali gus memperlihatkan bahawa Sukan Olimpik dapat mengatasi perselisihan politik.

“Contohnya, atlet dari Ukraine dan Rusia saling berpeluk, dan atlet China memberi sokongan kepada atlet Amerika Syarikat, malah menghadiahi mereka lencana Olimpik untuk melahirkan perasaan mesra,” kata Bach dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) menjelang penutupan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing hari ini.

Bach yakin sukan musim sejuk bakal mengubah gaya hidup manusia, sehingga membawa manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental.

“Dalam tempoh pandemik COVID-19, kesihatan mental dan fizikal menjadi lebih penting kerana mampu membantu kita mendepani sesetengah sekatan akibat wabak,” katanya.

Tambah beliau, atlet China yang beraksi cemerlang di pentas Olimpik 2022 akan menjadi teladan kepada sektor sukan China.

Beliau juga memberi sanjungan tinggi terhadap prestasi cemerlang Kumpulan Media China (CMG) dalam menyiarkan temasya tersebut.

“Liputan dan penyiaran CMG terhadap temasya sukan kali ini melakar sejarah dari segi skala dan kejayaannya.

“Usaha CMG tersebut telah menyemarakkan keghairahan rakyat China terhadap Olimpik Musim Sejuk, membolehkan mereka lebih mengenali temasya itu serta saling berkongsi keterujaan yang dibawa sukan berkenaan,” kata beliau.