China Janjikan Kecemerlangan Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022

2022-02-22 11:51:16  CRI
Share with:

Lebih 1,900 daripada 2,300 atlet dan pegawai yang menetap di Perkampungan Olimpik Musim Sejuk bandar Zhangjiakou telah berlepas untuk pulang ke negara masing-masing pada Isnin.

Menurut Ketua Operasi Venue, Jia Kai, baki sekitar 400 orang pula akan meninggalkan kawasan perkampungan itu pada esok dan pihaknya akan mengalihkan tumpuan kepada persiapan rapi untuk Paralimpik Musim Sejuk selepas itu.

Ketika ini, tanda-tanda Paralimpik Musim Sejuk telah dipasang. Sementara itu, pusat membaiki kerusi roda dan kaki palsu atlet yang terletak di kampung itu akan beroperasi pada esok.

Difahamkan, bagi menjamin temasya berjalan lancar, kumpulan operasi venue juga sedang giat menjalankan latihan, di samping melaksanakan kerja-kerja penukaran perkakasan menjadi mesra orang kurang upaya (OKU).

Jia berkata, kerja perkhidmatan Paralimpik Musim Sejuk akan dijalankan mengikut standard 'dua Olimpik Musim Sejuk, sama-sama cemerlang'.

Beliau memberitahu, pihaknya komited memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada atlet Paralimpik kali ini.

Perkampungan Paralimpik Musim Sejuk Zhangjiakou dijadual untuk dirasmikan pada Jumaat ini dan ia akan menyambut kedatangan lebih 700 atlet dan pegawai kontinjen.