China, Mesir Sumbang 500 Ribu Dos Vaksin COVID-19 kepada Gaza

2022-02-22 15:52:19  CRI
Share with:

 Penduduk di Genting Gaza akan menerima sejumlah 500 ribu dos vaksin COVID-19 yang disumbang secara bersama oleh China dan Mesir selepas majlis pengangkutan bantuan itu diadakan di Kaherah, ibu kota Mesir pada Ahad.

Menurut Duta Besar China ke Mesir, Liao Liqiang, sumbangan itu adalah penting dalam memastikan penduduk di Genting Gaza dapat membendung wabak dan mengatasi krisis kemanusiaan.

Beliau berkata, ia juga sekali gus memperlihatkan keprihatinan China dan Mesir terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat Palestin, serta hubungan rakan strategik komprehensif dua hala yang bertaraf tinggi.

"Isu Palestin ialah isu utama di Timur Tengah dan China menghargai peranan membina dan istimewa Mesir dalam menggalakkan penyelesaian isu Palestin.

"Kami (China) bersedia untuk bersama masyarakat antarabangsa dalam merealisasikan kedamaian dan kestabilan di Timur Tengah untuk jangka panjang," kata Liao.

Pemangku Menteri Kesihatan dan Populasi Mesir, Khaled Abdel Ghaffar yang turut hadir pada majlis itu turut menyifatkan kerjasama dengan China dalam membendung wabak sebagai satu teladan baik.

Selain menyatakan penghargaan atas sokongan dalam membendung wabak, beliau memberitahu bahawa Mesir berjaya menghasilkan 30 juta dos vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan di bawah rangka kerjasama tersebut.

"Ini merupakan kali pertama Mesir menyumbangkan vaksin yang dihasilkan secara bersama dengan China, sekali gus memaparkan sokongan teguh kedua-dua pihak kepada rakyat Palestin," kata Khaled.