China Gesa Israel Henti Keganasan, Harap Rundingan Disambung

2022-02-24 16:04:44  CRI
Share with:

 China berharap Palestin dan Israel dapat mengekalkan hubungan di peringkat tertinggi, serta terus menyambung semula rundingan untuk merealisasikan 'penyelasaian dua negara'.

Demikian dinyatakan oleh wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun ketika berucap dalam persidangan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai isu Palestin, pada Rabu.

"Kumpulan-kumpulan di Palestin diharap untuk meningkatkan perpaduan dan mencapai persepakatan melalui dialog dan rundingan," kata Zhang.

Beliau menambah, situasi di beberapa kawasan Palestin yang telah diduduki Israel masih berada dalam keadaan tegang dan semakin serius.

Zhang berkata, China menggesa Israel menghentikan tindakan mengusir penduduk Palestin atau merobohkan rumah penduduk tempatan, dan menyediakan pembangunan kepada komuniti di Tebing Barat.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan kepada Palestin termasuk berbentuk kewangan, usaha membendung wabak COVID-19 dan pembinaan semula di Genting Gaza.

"China menyokong Palestin dan Israel mengadakan penyelarasan dalam bidang ekonomi dan hal ehwal awam, serta menyeru agar kepungan dan sekatan terhadap Genting Gaza dibatalkan secepat mungkin," kata Zhang.