China Sokong Penyelesaian Masalah Melalui Rundingan antara Rusia dan Ukrain

2022-02-26 08:17:30  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin melalui telefon petang semalam menyatakan, China memilih pendirian sendiri menurut kebenaran yang wujud dalam isu Ukraine. Mentaliti perang dingin perlu dibuang, keprihatinan keselamatan yang rasional setiap negara perlu dipentingkan dan dihormati, dan mekanisme keselamatan Eropah yang seimbang, berkesan dan mampan diharap dibentuk melalui rundingan. China menyokong Rusia dan Ukraine menyelesaikan masalah melalui rundingan. Putin pula menyatakan kesediaan menjalankan rundingan peringkat tinggi dengan Ukraine.

Perhubungan kedua-dua pemimpin tersebut amat penting dan dilihat usaha terbaharu China bagi mendorong penyelesaian masalah Ukraine secara politik. Sebelum ini, ketika menghubungi Presiden Perancis, Emmanuel Macron melalui telefon, Xi menekankan bahawa pelbagai pihak terlibat seharusnya mengekalkan arah penyelesaian masalah secara politik, menggunakan sepenuhnya platform pelbagai hala termasuk 'Format Normandy', dan mencari pakej penyelesaian masalah Ukraine secara menyeluruh melalui rundingan. Serentak itu, menteri luar China juga menghubungi rakan sejawatnya dari Rusia dan AS melalui telefon secara berasingan untuk membentangkan pendirian China. 

Isyarat yang penting yang dapat dilihat daripada perhubungan pemimpin China dan Rusia adalah kemungkinan menyelesaikan masalah melalui dialog antara Rusia dan Ukrain masih wujud. Putin dalam perbincangan dengan Xi sekali lagi menyatakan kesediaan Rusia menjalankan rundingan, manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy juga menyatakan semalam bahawa pihaknya tidak takut Rusia dan bersedia merundingkan semua masalah dengan Rusia.

Selain it, Volodymyr Zelenskyy masih menyatakan kekecewaan terhadap NATO, kerana beliau tidak mendapat jawapan daripada pemimpin sebanyak 27 buah negara Eropah tentang sama ada Ukraine boleh menganggotai NATO atau tidak.

NATO yang diketuai AS memikul tanggungjawab yang tidak boleh dielakkan terhadap situasi Ukraine yang semakin meruncing pada masa sekarang. Selepas berakhirnya Perang Dingin, AS pernah mendorong NATO untuk mengembangkan sayapnya ke timur sebanyak lima kali, sehingga menjadikan pengaruhnya semakin dekat dengan sempadan Rusia yang dilihat sebagai ancaman yang semakin besar terhadap keselamatan Rusia. Inilah penyebab utama yang mengakibatkan ketegangan yang makin meruncing antara Rusia dengan AS dan NATO. Sejak tahun 2014, AS telah menghulurkan bantuan ketenteraan beberapa bilion dolar Amerika kepada Ukraine, dan NATO pun memilih bersama dengan Ukraine berkerap kali mengadakan latihan ketenteraan yang berskop besar sehingga Ukraine dijadikan pejuang di barisan hadapan untuk mengekang Rusia. Namun, permohonan Ukraine untuk menganggotai NATO tetap ditolak berkali-kali. Jelaslah, Ukraine di mata NATO hanya boleh berperanan sebagai satu 'catur' untuk membendung Rusia. Padahal, pertubuhan yang diketuai AS itu sama sekali tidak mahu terjerumus ke dalam kemelut ekoran mempunyai kaitan dengannya.

Bekas ahli Dewan Perwakilan AS, Tulsi Gabbard ketika diwawancara baru-baru ini menyatakan bahawa asalkan kerajaan AS berjanji tidak menerima Ukraine sebagai anggota NATO, konflik antara Rusia dan Ukraine terus boleh dielakkan. Namun, kerajaan AS sebenarnya sangat berharap melihat pertempuran macam sekarang ini berlaku, kerana mereka akan mempunyai dalih untuk menjalankan sekatan yang lebih ketat terhadap Rusia, manakala konsortium industri ketenteraan AS akan mendapat peluang mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya.

Masyarakat antarabangsa berharap Rusia dan Ukraine mengambil sikap yang tenang dan rasional, dan memilih penyelesaian masalah melalui rundingan. China akan terus mendorong penyelesaian masalah itu secara politik dengan usaha gigih.