PBB Seru Mempercepat Pemvaksinan Global

2022-02-27 14:47:12  CRI
Share with:

Sidang peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) berhubung vaksin COVID-19 menyeru perpaduan sejagat bagi mempercepat pelaksanaan program pemvaksinan di seluruh dunia.  

Presiden Sesi ke-76 Perhimpunan Agung PBB (UNGA 76), Abdulla Shahid pada Jumaat lalu berkata, sebanyak lebih 10 bilion dos vaksin telah disuntik di seluruh dunia, namun 83 peratus populasi di Kesatuan Afrika (AU) masih belum berpeluang menerima suntikan pertama.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam ucapannya menerusi pautan video pada sidang itu berkata, ketidaksamarataan pemvaksinan menyebabkan melayangnya nyawa, kemerosotan ekonomi serta penularan dan mutasi virus secara berterusan. Beliau menyarankan pelbagai negara berkongsi vaksin serta menyumbangkan vaksin kepada Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 Global (COVAX).

Pada hari yang sama, statistik terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia  menunjukkan, jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 sebanyak 430,257,564 kes, termasuk 5,922,049 kes kematian di seluruh dunia.