Olimpik 2022: Janji Keselamatan untuk Semua Ditunaikan

2022-02-28 16:06:35  CRI
Share with:


Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach menyifatkan Beijing, tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, sebagai tempat paling selamat di dunia.

Dalam satu sidang media ketika berlangsungnya temasya sukan itu, beliau berkata kadar positif wabak hanya sekitar 0.01 peratus susulan pelaksanaan sistem gelung tertutup oleh Beijing.

Berdepan dengan pandemik COVID-19 yang masih menular di dunia, sebuah "gelung tertutup" gergasi telah diwujudkan membabitkan semua lokasi Olimpik 2022 bagi mengelakkan jangkitan wabak tersebut.

Walaupun tidak perlu menjalani kuarantin selama 21 hari, namun para peserta diminta menerima suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap, sekurang-kurangnya 14 hari menjelang ketibaan di China.

Selain itu, mereka juga wajib menjalani dua kali ujian asid nukleik (NAT) COVID-19 dalam masa 96 jam sebelum menaiki penerbangan, dan mengikuti NAT mulut dan hidung lagi apabila memasuki negara ini.

Zon dan laluan khusus turut disediakan di lapangan terbang untuk menyambut peserta luar, bagi mengelakkan kontak fizikal dengan penumpang lain.

Usaha membendung penularan COVID-19 dalam temasya itu juga disokong oleh teknologi dan fasiliti yang canggih.

Dalam pada itu, ratusan “petugas pintar” telah ditempatkan di venue dan perkampungan Olimpik yang mampu menjalankan saringan COVID-19 secara pantas dan efektif, termasuk mengenal pasti identiti, memeriksa suhu badan dan mengesahkan keputusan ujian NAT.

Pelbagai pendekatan yang dilaksanakan secara teliti berjaya mendapat sanjungan atlet pelbagai negara dan pegawai IOC.

Ramai antara mereka berkongsi pengalaman masing-masing melalui media sosial, sambil memuji kesungguhan pihak penganjur bagi menjamin keselamatan para peserta sepanjang temasya itu.