China Kekal Entiti Ekonomi Kedua Terbesar Dunia

2022-03-01 15:05:58  CRI
Share with:

China kekal entiti ekonomi kedua terbesar dunia dengan kapasiti ekonominya mencecah RMB110 trilion (sekitar RM73 trilion), menurut buletin statistik disiarkan Biro Statistik Negara (NBS) pada Isnin.

Statistik NBS menunjukkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China menokok 8.1 peratus pada 2021, sekali gus mendahului entiti ekonomi utama di dunia dengan purata pertumbuhan pada kadar 5.1 peratus dalam tempoh dua tahun lalu.

Di samping itu, KDNK per kapita China juga melebihi paras purata dunia dengan mencecah RMB80,000 (RM53,000), manakala jumlah import dan ekspot turut menaik 21.4 peratus kepada RMB39.1 trilion (RM26 trilion).

Prestasi itu menjadikan China kekal sebagai negara perdagangan barangan terbesar dunia bagi lima tahun berturut-turut.

Ahli ekonomi kanan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), Liang Guoyong berkata, keterbukaan China yang berterusan bukan sahaja memacu pemulihan perdagangan global, malah amat signifikan kepada pewujudan iklim perdagangan yang terbuka, terangkum dan saling untung.

"Ketika wabak COVID-19 masih menular di lingkungan sejagat, penganjuran acara perdagangan bertaraf antarabangsa secara besar-besaran seperti Ekspo Perkhidmatan Perdagangan Antarabangsa China (CIFTIS) dan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) memberi peluang penting kepada pelbagai negara untuk menjana pengeksportan dan pertumbuhan.

"Ia juga bermanfaat bagi memperkasakan kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa, mendinamikkan perdagangan dan pelaburan, serta menggalakkan pemulihan ekonomi dunia yang seimbang," katanya.

Statistik juga menunjukkan, penggunaan pelaburan langsung asing oleh China mencatat RMB1.1 trilion (RM730 bilion) pada 2021, naik 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Presiden Dewan Perniagaan Amerika Syarikat (AS) di Selatan China, Harley Seyedin berkata, syarikat Amerika menyaksikan perniagaan yang amat baik di China pada tahun lepas, dengan terus memperoleh keuntungan.

"Setahu saya, anggota kami turut memperuntukkan belanjawan lebih daripada USD18 bilion(RM75 bilion) untuk dilaburkan lagi di China dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi memperluas perniagaan sedia ada serta mendapat bahagian pasaran lebih banyak.

"Pada masa sama, kami juga dapat memperkenalkan teknologi dan produk baharu ke pasaran China," ujarnya.