Api Paralimpik Beijing Dinyala di Stoke Mandeville

2022-03-01 16:57:50  CRI
Share with:

Api Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dinyalakan di Stadium Stoke Mandeville, Buckinghamshire, United Kingdom (UK), pada Isnin.

Terletak sekitar 80 kilometer dari barat laut London, Stoke Mandeville yang merupakan tempat kelahiran sukan paralimpik menerima kehadiran ramai tetamu ke majlis simbolik itu.

Duta China ke UK, Zheng Zeguang menyifatkan nyalaan api tersebut sebagai cerminan keberanian, keazaman, inspirasi dan kesaksamaan yang bakal menyalakan sinar harapan dan membakar tekad perjuangan.

“Api ini akan meningkatkan lagi keyakinan dan menyemarakkan semangat kesukanan atlet para di serata dunia, dan menerangi jalan ke hadapan untuk mereka,” katanya.

Menurut beliau, api dari Stoke Mandeville akan digabung dengan api lain yang masing-masing dinyalakan di lapan lokasi dari tiga zon pertandingan membabitkan Beijing, Yanqing dan Zhangjiakou, sehingga membentuk Obor Paralimpik 2022.

Disertai atlet para, jurulatih dan wakil-wakil orang kelainan upaya (OKU) pelbagai lapisan masyarakat, larian obor dijadual bermula esok di tiga tempat tersebut hingga pembukaan temasya itu pada Jumaat.