NPC, CPPCC Pamer Amalan Demokrasi China - Sarjana Asing

2022-03-04 14:43:42  CRI
Share with:

Sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) dilihat sebagai antara usaha penting dalam mempraktikkan demokrasi di negara Tembok Besar ini.

Tokoh dari pelbagai negara berpendapat, kedua-dua persidangan yang berpaksikan perihal berkaitan rakyat itu membawa makna signifikan dalam mendorong kemakmuran dan pembangunan China.

Pakar hal ehwal China dari Pusat Penyelidikan Politik Antarabangsa Cuba, Eduardo Regalado menyifatkan sidang tahunan NPC dan CPPCC sebagai wadah demokrasi untuk mengemukakan dan membahaskan usul-usul berkaitan pembangunan negara.

"Dengan sasaran untuk menambah baik kesejahteraan rakyat dan memajukan negara, beberapa isu penting seperti pembangunan hijau dan inovatif dijangka menjadi fokus dalam kedua-dua sidang itu.

"Pada masa sama, usaha menyusun dasar-dasar berkaitan akan dilakukan bagi memacu pembangunan negara," katanya.

Di samping itu, sidang NPC dan CPPCC itu juga dianggap membuka jendela kepada dunia bagi memahami dengan lebih lanjut tentang dasar pentadbiran China.

Pengerusi Kelab Kumpulan 48 Britain, Stephen Perry menyatakan dirinya mengikut rapat berhubung pelbagai inisiatif China dalam merintis usaha pembangunan.

"Antaranya termasuk bagaimana empat bandar utama dalam kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Makau dapat disambungkan, di samping memainkan peranan masing-masing. Usaha inovasi itu sungguh menarik," ujarnya.

Pengarah Institut Komuniti Asia Timur Jepun, Ukeru Magosaki pula menganggap bahawa China sudah muncul sebagai pelopor dalam usaha penyelidikan sains dunia.

Beliau berkata, dunia sekarang menyaksikan perubahan susulan teknologi baharu dan China dinanti-nantikan untuk memainkan peranan penting dalam bidang teknologi baharu dan memacu pembangunan dunia.