RCEP: Hainan Mahu Optimumkan Peranannya
Hainan berhasrat mengoptimumkan peranan sebagai pelabuhan perdagangan bebas
terbesar di dunia dan memperhebat proses kerjasama antara China dengan ASEAN
dalam kerangka Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Demikian ujar Presiden Institut China untuk Pembaharuan dan Pembangunan (CIRD) Hainan, Chi Fulin ketika berlangsungnya 'Seminar Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan di bawah RCEP' di Haikou, Hainan, pada Ahad.
Beliau berkata, Hainan mempunyai kelebihan dari sudut geografi dan posisinya selaku hab strategik dalam RCEP serta menyifatkan pasaran China yang besar sebagai sangat penting.
"Dengan memanfaatkan peluang dalam kerangka RCEP, pelabuhan perdagangan bebas Hainan perlu mempromosi keterbukaan pada aras baharu sambil mengambil kira situasi semasa dan mengikut arus terkini," ujar Chi.
Untuk rekod, RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dicapai 10 negara anggota ASEAN dengan lima buah negara, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand.
Setelah penguatkuasaan perjanjian tersebut, lebih 90 peratus produk dalam kerangka terbabit akan dibatalkan tarif.
Menurut laporan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), RCEP merangkumi hampir 60 peratus perdagangan luar Malaysia.
Menerusi RCEP, pertambahan tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan luar Malaysia juga diunjurkan masing-masing sebanyak RM16 bilion dan RM21 bilion.
Seiring dengan pembangkitan ekonomi, ASEAN telah menjadi penyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi rantau Asia Timur.
Penguatkuasaan RCEP secara rasmi akan kondusif kepada ASEAN dalam usaha memulihkan ekonomi, menaiktarafkan industri, memperluas pasaran serantau, dan melibatkan diri dalam rantai nilai serantau dan global.