China Dipuji Bantu Pacu Pertumbuhan Global
Pemulihan ekonomi China di tengah penularan pandemik COVID-19 amat signifikan bagi memacu pertumbuhan ekonomi global.
Demikian anggapan tokoh-tokoh Laos yang menumpukan perhatian terhadap laporan kerja kerajaan dibentangkan Perdana Menteri Li Keqiang sempena sidang ke-5 Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-13 China yang dirasmikan pada Sabtu.
Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Laos (LNCCI), Thanongsin Kanlaya menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada 2021 menokok 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan agregat ekonominya melebihi RMB114 trilion (RM75.3 trilion).
“Walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19, ekonomi China tetap mengekalkan trend pertumbuhan stabil, turut mencuri perhatian seluruh dunia," katanya.
Menurut Kanlaya, selaku negara anggota Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Laos mempunyai kelebihan geografi yang bersempadan dengan China. Di samping itu, siapnya landasan kereta api China-Laos serta projek lebuh raya juga membawa kelebihan dari segi pengangkutan logistik kepada Laos.
Beliau turut menzahirkan harapan agar RCEP dapat membantu Laos menarik lebih banyak penanaman modal asing, membuka pasaran luar negeri, sekali gus mencipta lebih banyak peluang kerja.
Sementara itu, Naib Presiden Radio Nasional Laos, Sangkhane Choumkhamphanh memuji prestasi ekonomi China pada 2021 memberi isyarat positif bagi pemulihan ekonomi global.
“Sumbangan barang perubatan China merangkumi vaksin, pelitup muka, sut pelindung dan kit ujian kepada negara lain termasuk Laos untuk membantu usaha melawan wabak mempamerkan kebertanggungjawabannya selaku kuasa besar," ujar beliau.