Wang Yi: Hubungan China, ASEAN Tiada Batasnya

2022-03-07 18:36:20  CRI
Share with:

China dan ASEAN meniti jalan kejiranan baik dan kerjasama saling untung, serta menjadi penanda aras kerjasama serantau yang paling berpotensi dan dinamik.

Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi berkata demikian dalam taklimat media sempena sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) yang berlangsung hari ini. 

Beliau turut melihat hubungan China-ASEAN tidak ada batasnya, dan pasti akan terus berkembang.

Beliau berkata, China dan ASEAN mempelopori kerjasama serantau apabila menjalin hubungan dialog pada 30 tahun lalu. Kini, penjalinan perkongsian strategik menyeluruh kedua-dua pihak pula menjadi teladan persahabatan antara negara jiran. China bersedia berusaha bersama dengan ASEAN ke arah komuniti berkongsi nasib yang lebih rapat demi kesejahteraan rakyat.

Beliau menegaskan, China akan terus menjadikan ASEAN sebagai keutamaan dalam usaha diplomasi, di samping mempertahankan rangka kerjasama serantau yang berpusatkan ASEAN, memelihara kedudukan Asia Tenggara yang bebas senjata nuklear dan ketenteraman serantau.

Selain itu, China juga menyokong usaha pengantaraan ala ASEAN dalam mengendalikan isu serantau yang hangat, serta menentang cubaan mencetuskan pertentangan dan konfrontasi sesama blok.

Beliau turut yakin dengan pemuktamadan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan kerana ia selaras dengan kepentingan bersama China dan negara ASEAN, dan juga signifikan bagi menjamin kedamaian dan kerjasama di perairan tersebut. 

Beliau berharap dua perkara diberi perhatian dan dikendalikan dengan baik, iaitu melihat percanggahan pendapat dengan betul dan menangkis gangguan dari luar.