Duta China Seru Perkasa Pembangunan Wanita

2022-03-09 15:08:06  CRI
Share with:

Masyarakat antarabangsa perlu menggandakan usaha dan menyelaraskan tindakan bagi memperkasakan pembangunan wanita sedunia, kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun pada Selasa.

Dalam mesyuarat terbuka Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai kaum wanita, kedamaian dan keselamatan, Zhang berkata, penularan pandemik COVID-19 dan pergolakan situasi serantau membawa risiko kepada pemerkasaan kaum wanita dalam bidang ekonomi, khususnya mereka yang berada di kawasan dilanda konflik.

Beliau menyarankan supaya bantuan diberikan kepada pembinaan semula infrastruktur penting di kawasan berkonflik, terutamanya jalan raya, jambatan, kemudahan bekalan air dan elektrik yang berkaitan dengan kehidupan rakyat, bagi memperkukuh asas pembangunan wanita di sana.

Di samping itu, lebih banyak dana khas perlu diperuntukkan dalam sektor perubatan, pendidikan dan latihan yang membabitkan kaum wanita.

Beliau juga mengesyorkan supaya pemerkasaan kaum wanita dalam bidang ekonomi dimasukkan dalam rangka kerjasama pembangunan antarabangsa, sementara isu pembangunan dijadikan keutamaan dalam usaha PBB.