Pemimpin China, Perancis, Jerman, Bincang Situasi Ukraine

2022-03-09 13:38:18  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz secara maya pada Selasa bagi membincangkan tentang situasi terkini Ukraine.

"China berpendirian untuk menghormati kedaulatan negara dan keutuhan wilayah, mematuhi Piagam PBB, mementingkan keprihatinan keselamatan yang rasional, dan menyokong semua usaha yang kondusif kepada pendekatan secara damai," ujar Xi.

Tegas beliau, keutamaan pada ketika ini adalah untuk mengelakkan ketegangan menjadi semakin meruncing sehingga berada di luar kawalan.

Xi berkata, China menghargai jasa baik Perancis dan Jerman dalam isu Ukraine, serta bersedia mengekalkan interaksi dan penyelarasan dengan Kesatuan Eropah (EU), sekali gus berperanan positif bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa.

Tambahnya, dunia juga diharap dapat mengambil pandangan keselamatan secara bersama, bersepadu, bekerjasama dan berterusan.

"China menyokong Perancis dan Jerman mempertimbang keamanan Eropah, mempertahankan strategi sendiri, dan mendorong pembentukan kerangka keselamatan Eropah yang teratur, berkesan dan lestari.

"China juga menyokong dialog yang sama rata diadakan antara EU, Rusia, Amerika Syarikat dan NATO," kata Xi.

Sementara itu, Macron dan Scholz pula menekankan bahawa Perancis dan Jerman sedang berdepan dengan krisis paling serius sejak Perang Dunia Kedua serta turut menyokong penyelesaian masalah menerusi rundingan.

Difahamkan, antara lain yang diperbincangkan dalam perjumpaan tiga hala itu adalah mengenai isu nuklear Iran.