AUKUS Digesa Teliti Semula Kesahihan Pemindahan Bahan Nuklear

2022-03-10 12:42:04  CRI
Share with:


Isu kesahihan pemindahan bahan senjata nuklear membabitkan AUKUS tidak boleh dielakkan, kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Wang Qun.

Wang membuat kenyataan itu selepas mesyuarat Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) diadakan pada Rabu dengan konsensus membawakan agenda penting atas saranan China berhubung isu pemindahan bahan nuklear serta pemantauannya dalam segenap aspek di bawah Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear (NPT).

Duta China itu berkata, isu berkaitan AUKUS dimasukkan kali kedua ke dalam agenda mesyuarat IAEA sejak November 2021, mencerminkan kebimbangan serius masyarakat antarabangsa terhadap kerjasama tiga hala melibatkan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mengenai kapal selam bertenaga nuklear.

Beliau menyatakan, isu teras ialah sama ada kerjasama AUKUS melibatkan pemindahan bahan senjata nuklear secara haram.

Menurutnya, kerjasama antara Australia, negara bebas senjata nuklear dengan AS dan UK, dua buah negara pemilik nuklear, mesti diteliti semula di bawah rangka kerja NPT.

“Jika pemindahan itu dilakukan secara haram, AUKUS perlu memansuhkan sepenuhnya kerjasama berkenaan dan menghentikan serta-merta perbuatan seumpama yang terang-terangan melanggar NPT,” kata Wang.

Tambah beliau lagi, negara anggota IAEA mempunyai hak dan tanggungjawab untuk meneruskan proses perbincangan sesama kerajaan hingga menyelesaikan isu tersebut, sekali gus mempertahankan kewibawaan dan keberkesanan NPT serta integriti sistem pemantauan IAEA.