Lagi Vaksin COVID-19 Bantuan China Diserahkan Kepada Palestin

2022-03-10 14:51:40  CRI
Share with:

Bantuan vaksin COVID-19 kumpulan ketiga oleh China telah diserahkan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin PBB di Timur Dekat (UNRWA), pada Rabu untuk kegunaan pelarian Palestin yang berada di wilayah Lebanon.

Ketua Pejabat Perwakilan China di Palestin, Guo Wei menyifatkan bantuan vaksin COVID-19 tersebut sebagai langkah pragmatik dalam pelaksanaan inisiatif kerjasama vaksin global yang dikemukakan China.

Menurut beliau, China akan terus menyokong usaha UNRWA dan memberikan bantuan yang praktikal kepada pelarian Palestin.

UNRWA dalam kenyataannya turut menzahirkan penghargaan kepada China dan menyatakan bahawa sumbangan tersebut bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pelarian Palestin, malah dapat merealisasikan keadilan dalam pengagihan vaksin dan bertepatan pada masanya.

Untuk rekod, sejak tercetusnya wabak COVID-19, China telah menyumbang USD2 juta (RM8.37 juta) kepada UNRWA, di samping memberi bantuan barangan melawan wabak kepada agensi perubatan di Palestin, Jordan, Lebanon dan Syria serta menyediakan “kit kesihatan” kepada pelarian Palestin di luar wilayah negara itu.

Setakat ini, China juga telah menyediakan 200 ribu dos vaksin COVID-19 kepada pelarian Palestin di luar wilayah negara itu dan kesemua vaksin itu telah dihantar ke Jordan, Syria dan Lebanon.