Pemandu Bagaikan Mata bagi Atlet Cacat Penglihatan

2022-03-11 14:07:49  CRI
Share with:

Atlet China, Wang Yue memenangi pingat gangsa dalam pertandingan acara Para Biathlon jarak tengah wanita dalam Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022 pada hari Selasa lalu.

Dalam pertandingan Biathlon, atlet cacat penglihatan hanya boleh membuat sasaran untuk menembak dengan senapang berpandukan bunyi yang diberikan pemandunya.

Menurut beliau, pemandunya iaitu Li Yalin sering memberi galakan kepadanya sepanjang masa, dan menasihatinya untuk berada dalam keadaan tenang.  

Kata Wang, beliau sudah bekerjasama dengan Li selama tiga tahun dan menyifatkan pemandunya itu sebagai rakan yang paling dipercayai dalam latihan dan pertandingan.

“Saya mesti mempercayai pemandu sebab dia adalah seperti mata saya,” kata Wang.

Dalam pertandingan kategori cacat penglihatan Sukan Paralimpik kali ini, pemandangan atlet cacat penglihatan didampingi pemandunya ketika pertandingan sering dilihat.

Bagi pemandu, mereka akan turut sama berluncur di depan sambil menumpukan aksi atlet di belakangnya.

Selain itu, mereka bukan sahaja akan memberi panduan dan isyarat kepada atlet dalam pelbagai bahasa, bahkan juga menggunakan tongkat yang sama dengan atlet untuk menuju bersama ke garisan penamat.

Pada majlis penganugerahan pingat pula, atlet dan pemandunya akan bersama-sama mendapat pingat yang sekali gus memperlihatkan pengiktirafan terhadap pencapaian atlet dan tanda hormat terhadap kerjasama istimewa antara atlet dengan pemandunya.