"Keramahan China" Jelas Terasa Dalam Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022

2022-03-14 14:52:42  CRI
Share with:

Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing mengutamakan perkhidmatan kepada para atlet, selain memastikan kemudahan dan akses tanpa halangan terjamin.

Para atlet mendapati bahawa pihak penganjur telah menurunkan ketinggian kemudahan, menambah langkah keselamatan antigelincir, menyediakan pintu automatik di pintu masuk utama, serta menyediakan perkhidmatan tanpa halangan termasuk tempat duduk, lif, tandas, dan papan tanda.

Malah, turut difahamkan bahawa venue salji turut dilengkapi dengan bilik melilin dan sistem kereta kabel bebas halangan percuma.

Melihat kepada pelaksanaan secara terperinci untuk temasya sukan kali ini, rata-rata atlet para dari seluruh dunia ketika ditemui menyatakan bahawa mereka dapat merasakan "keramahan China".

Untuk rekod, kesemua kemudahan bebas halangan tersebut akan terus digunakan selepas berakhirnya termasya sukan itu.

Pakar perkhidmatan bebas halangan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Ileana Rodriguez menyatakan bahawa Beijing selaku tuan rumah Paralimpik Musim Sejuk, menjadi teladan dalam membantu golongan orang kurang upaya (OKU) diintegrasikan ke dalam masyarakat dengan lebih aktif.

"Membolehkan OKU melakukan perjalanan dengan lebih bebas dan selamat, bertukar maklumat dan mendapatkan perkhidmatan komuniti, mampu mencerminkan 'keramahan sesebuah bandar'.

"Kejayaan penganjuran Sukan Paralimpik Musim Sejuk di Beijing menjadikan OKU diberikan lebih banyak perhatian oleh pelbagai lapisan masyarakat," ujar Rodriguez.