Xi Hubungi Hun Sen menerusi Telefon

2022-03-19 15:00:29  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping telah menghubungi  Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menerusi telefon semalam.

Xi menyarankan kedua-dua negara berpandukan  pembangunan berkualiti tinggi dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan  (BRI), mempercepat pembangunan lebuh raya, lapangan terbang dan zon ekonomi  khas, memperluas kerjasama kewangan dan ekonomi digital, di samping menaiktaraf  perdagangan bilateral dengan memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas. Untuk itu, China komited  mengintensifkan pengimportan hasil pertanian dari Kemboja, memperkasakan  kerjasama dalam bidang hidup rakyat, melaksanakan projek pembinaan jalan di  kawasan luar bandar dan projek pendidikan, membantu Kemboja mengembangkan  pertanian dan membanteras kemiskinan di kalangan petani, di samping menyokong Phnom Pehn menangkis penularan COVID-19 dan mencari model baharu pertukaran  sosiobudaya di sebalik pandemik.

“China menyokong kedudukan teras ASEAN dalam kerangka kerjasama serantau dan peranan ASEAN dalam menangani isu serantau dan antarabangsa, menyokong Kemboja sebagai pengerusi bergilir ASEAN pada tahun  ini”, kata Xi.

Hun Sen berkata, Kemboja kekal mengamalkan dasar 'Satu China', menyokong pendirian China dalam isu melibatkan Taiwan dan  Xinjiang, menghargai bantuan China yang berbentuk barangan seperti vaksin dan mengharapkan kerjasama selanjutnya dalam menangkis wabak. Sebagai negara  pengerusi bergilir ASEAN, Kemboja berinisiatif menyuntik kedinamikan kepada hubungan ASEAN-China.

Pemimpin kedua-dua negara bersepakat  mengesyorkan pendirian yang seimbang dan adil untuk mengusahakan rundingan damai  berhubung situasi semasa di Ukraine.