Xi: China Bersedia Eratkan Hubungan dengan Afrika Selatan

2022-03-19 15:24:45  CRI
Share with:

China bersedia bekerjasama dengan Afrika Selatan untuk menggalakkan hubungan dua hala berkembang ke arah yang berprofil tinggi, kata Presiden China Xi Jinping pada petang Jumaat.

Dalam perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Xi berkata, China mengalu-alukan lebih banyak pengimportan produk Afrika Selatan yang berkualiti tinggi, menyokong kedua-dua pihak memperluaskan kerjasama dalam bidang yang baru muncul termasuk tenaga baharu dan e-dagang, dan menggalakkan kerjasama dan pelaburan syarikat China di Afrika Selatan, selain membantu Afrika Selatan memperjuangkan matlamat Inisiatif Pelaburan Baharu.

“China bersedia untuk membincangkan kerjasama pengeluaran vaksin dengan Afrika Selatan, dan menyokong Afrika Selatan dan negara-negara lain di benua Afrika dalam usaha memerangi pandemik COVID-19”, kata Xi.

Xi menyatakan bahawa sebagai negara pengerusi BRICS tahun ini, China bersedia bekerjasama dengan Afrika Selatan untuk mengekalkan trend pembangunan mekanisme kerjasama BRICS, memicu pembangunan  di negara masing-masing yang selaras dengan keanggotaan BRICS dan menggalakkan pembangunan global yang lebih kuat, hijau dan sihat.

Ramaphosa pula menyifatkan China sebagai rakan kongsi dan sahabat yang boleh dipercayai bagi Afrika Selatan serta  negara-negara lain di Afrika.  Beliau mengucapkan terima kasih kepada China atas pendirian yang adil dan bantuan yang berharga kepada Afrika Selatan dan negara-negara lain di benua itu dalam mengharungi kesukaran.

“Afrika Selatan kekal berpegang kepada dasar Satu China dan menyokong pendirian China dalam isu yang berkaitan dengan Tibet dan isu-isu utama lain,” kata Ramaphosa.

Selain itu, pemimpin kedua-dua negara ini juga bertukar-tukar pandangan tentang situasi di Ukraine dengan sebulat suara berpendapat bahawa China dan Afrika Selatan mempunyai pendirian yang hampir sama dalam isu Ukraine,  dan beranggapan bahawa negara-negara berdaulat berhak untuk menentukan secara bebas pendirian mereka sendiri.

Xi dan Ramaphosa menyokong Rusia dan Ukraine memilih mengekalkan rundingan damai dan menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan rundingan, dan berkata mereka bersedia meningkatkan komunikasi dan koordinasi mengenai isu itu.