PKS Diminta Dalami RCEP, Ambil Manfaat Penuh
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berharap agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar memahami konsep Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara lebih mendalam.
Menurut Pengerusinya, Datuk William Ng, ia adalah berikutan kemampuan RCEP untuk menjimatkan PKS dari sudut tarif dan cukai, sekali gus menjadikan barangan Malaysia lebih menarik kepada pembeli dari pasaran RCEP.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai RCEP yang berkuatkuasa bagi Malaysia mulai 18 Mac dalam satu wawancara menerusi program Agenda AWANI Asia pada Sabtu.
"Pada masa sama, RCEP turut menjimatkan masa dan mengurangkan kertas kerja untuk PKS, serta menjadikan proses eksport lebih mudah dan murah," ujar William.
Tambah beliau, disebabkan ramai yang belum memahami manfaat konsep RCEP, adalah penting supaya aktiviti untuk mempromosi dan memberi penerangan berhubung perjanjian itu dipertingkatkan.
William turut menyarankan agar penggiat PKS untuk menukar cara fikiran ke arah inovasi dan penjenamaan berbanding hanya menumpukan kepada pembelian pukal atau sekadar menjadi pengguna.
Beliau menjadikan China sebagai contoh yang membuat dasar untuk memberi fokus kepada inovasi termasuk melabur dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D), digitalisasi serta automasi.
Jelasnya, ia adalah penting kerana barang yang dijual oleh PKS Malaysia kelak akan dipandang lebih inovatif, berkualiti dan tidak dapat ditiru.