Pemuda Malaysia Belajar Akupunktur di China
Sebagai salah satu kaedah rawatan penting perubatan tradisional Cina (TCM), akupunktur kini makin diketahui di seluruh dunia, malah menarik semakin ramai warga asing datang untuk mempelajarinya.
Pusat latihan akupunktur antarabangsa Akademi TCM China di Beijing memberikan peluang kepada warga asing untuk mengikuti kursus akupunktur.
Sejak ditubuhkan pada 1975, pusat itu telah menyediakan kursus TCM untuk lebih 30 ribu pengamal perubatan dari lebih 100 buah negara dan wilayah.
Lee Hanxue, pemuda dari Malaysia merupakan salah seorang warga asing yang mengikuti kursus akupunktur di pusat tersebut.
Lee menjejakkan kaki ke China pada 2016 untuk belajar kung fu di gunung Wudang.
Pada 2017, dia berpindah dan menetap di Beijing dengan bekerja sebagai seorang jurutera perisian komputer.
Pada masa sama, dia tetap meneruskan latihan kung fu dan mula menceburkan diri dalam pembelajaran akupunktur.
“Bagi saya, TCM mempunyai kaitan yang rapat dengan kung fu. Saya diberitahu kawan bahawa ada kursus TCM antarabangsa dalam bahasa Inggeris. Saya rasa ini satu peluang yang amat baik,” kata Lee.
Bagaimanapun, belajar akupunktur bukanlah suatu perkara mudah bagi warga asing yang tidak arif tentang ilmu TCM.
Dalam hal ini, Lee berkata, penjelasan yang disampaikan dengan tepat dalam bahasa Inggeris adalah sangat membantu bagi pelajar asing.
Walaupun masih banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk melayakkan diri sebagai seorang pengamal akupunktur, namun Lee berikrar meneruskan pelajarannya, dan berharap menyebarluaskan lagi akupunktur kepada rakyat Malaysia apabila kembali tanah air kelak.