Hospital Persahabatan Preah Kossamak China-Kemboja Mula Beroperasi
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menzahirkan penghargaan kepada China atas bantuan pembinaan Hospital Persahabatan Preah Kossamak China-Kemboja yang mula beroperasi pada Isnin.
Berucap semasa perasmian hospital tersebut, beliau berkata projek itu mencerminkan satu lagi pencapaian persahabatan kedua-dua negara, sambil menyifatkannya sebagai bantuan penting dalam bidang perubatan Kemboja.
Duta China, Wang Wentian yang turut hadir pada majlis tersebut pula menyatakan hospital itu kini dilengkapi peralatan perubatan canggih dan sistem triaj yang saintifik.
Beliau turut menjangka ia akan menjadi hospital awam paling moden di Kemboja.
Menurut Wang, unit perubatan tradisional Cina (TCM) turut ditubuhkan selepas hospital itu dibesarkan dan pakar dari China akan memberi bimbingan teknikal dan membantu mempersiapkan unit berkenaan.
Wang berharap dan turut yakin pakar TCM yang tiba di sini Rabu lalu dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan TCM dalam membantu Kemboja membendung wabak COVID-19.
Untuk rekod, hospital persahabatan berkenaan dahulunya dikenali sebagai Hospital Preah Kossamak sebelum diperbesar oleh China State Construction Engineering Corporation (CSCEC).
Terletak di pusat bandar Phnom Penh, ia direka bentuk sebagai sebuah bangunan perubatan lengkap merangkumi pembedahan, perkhidmatan pesakit luar dan dalam, rawatan kecemasan, teknologi perubatan serta logistik.
Kerja-kerja pembinaan dan pembesaran hospital itu dimulakan pada Oktober 2018, dengan keluasan keseluruhannya kini mencapai 33,000 meter persegi.