Mekanisme LMC Perkukuh Hubungan, Kerjasama Pragmatik

2022-03-23 16:31:12  CRI
Share with:

Pelaksanaan mekanisme Kerjasama Lancang-Mekong (LMC) selama enam tahun telah berjaya memperkukuh hubungan kejiranan dan kerjasama pragmatik antara enam negara iaitu China, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam. 


Pada 2021, jumlah dagangan antara China dengan negara-negara terbabit mencecah US$398 bilion (RM1.7 trilion), menokok 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada 1 Januari 2022, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China-Kemboja berkuat kuasa secara rasmi.


Berpandukan perjanjian itu, komoditi yang diperdagangkan secara bebas tarif antara China dan Kemboja masing-masing mencapai 97.5 peratus dan 90 peratus.


Menurut wakil China bagi pasukan petugas bersama kerjasama sumber air Lancang-Mekong, Zhong Yong, sebanyak 30 projek kolaborasi dijalankan dengan tajaan tabung khas LMC melibatkan peruntukan hampir RMB300 juta (RM198.9 juta) sejak lima tahun lalu.


Beliau berkata pihaknya juga membantu negara-negara di lembangan Sungai Mekong menubuhkan pusat maklumat sumber air dan lebih 50 stesen hidrologi, sambil melancarkan lebih 30 projek demonstrasi keselamatan air minum luar bandar.


Selain itu, enam negara LMC turut berganding bahu untuk membendung wabak COVID-19.


China telah beberapa kali membekalkan peralatan keperluan memerangi wabak kepada lima negara berkenaan, termasuk kit ujian, pelitup muka dan sut pelindung.


Selain kerap menganjurkan telesidang untuk berkongsi pengalaman mencegah wabak, China juga menghantar pasukan pakar perubatan ke negara terbabit, di samping membantu membina makmal ujian asid nukleik dan hospital sementara.


Setakat akhir tahun lalu, bekalan vaksin disalurkan China kepada lima negara berkenaan dalam bentuk bantuan serta menerusi perolehan komersial mencatat kira-kira 190 juta dos.


Mesyuarat pemimpin pertama mengenai LMC diadakan di Sanya, provinsi Hainan pada 23 Mac 2016.


Enam negara itu sepakat membina komuniti berkongsi nasib Lancang-Mekong dan menetapkan kerangka kerjasama “3+5” yang tertumpu pada kesalinghubungan, kapasiti pengeluaran, ekonomi rentas sempadan, sumber air, pertanian dan pengurangan kemiskinan.