Kerjasama China-Thailand Pasti Mengorak ke Hadapan

2022-03-24 15:21:16  CRI
Share with:

China dan Thailand dipercayai mampu menongkah arus untuk meneruskan kerjasama serta persahabatan meskipun dalam suasana perubahan situasi antarabangsa.

Demikian ujar Duta Besar China ke Thailand, Han Zhiqiang ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian aktiviti "China di Mata Wartawan Thailand" edisi keempat baru-baru ini.

Beliau berkata, hubungan antara kedua-dua negara didukung dengan asas kukuh dari sejarah dan kepentingan bersama, serta mempunyai potensi kerjasama yang amat besar.

“Kedua-dua pihak saling menyokong dalam isu yang mempunyai kepentingan teras, aktif mempertingkat penyelarasan strategi pembangunan dan berkongsi pengalaman dalam pentadbiran negara, di samping memperkasa kerjasama pragmatik dan pertukaran sosiobudaya,” kata Han.

Tambah beliau, persahabatan “China-Thailand mesra seperti sekeluarga” jelas kelihatan apabila kedua-dua pihak berganding bahu dalam mendepani cabaran akibat pandemik COVID-19.

Menyentuh mengenai ekonomi, Han menyatakan bahawa China juga merupakan rakan dagang terbesar bagi Thailand untuk sembilan tahun berturut-turut.

“Kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Thailand dipertingkat lagi dalam tempoh pandemik, dengan jumlah dagangan mencecah USD133.1 bilion pada 2021, iaitu menokok 33 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Khususnya, eksport produk pertanian Thailand ke China menyaksikan kenaikan pada kadar 52 peratus, dengan mencatat USD11.9 bilion,” ujar beliau.

Han turut menzahirkan kesediaan China untuk mendorong kerjasama melibatkan projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) seperti pembangunan landasan kereta api China-Thailand, di samping meneroka potensi kerjasama dua hala susulan pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).