Dialog, Jalan Keluar Krisis Ukraine - Duta China

2022-03-25 14:41:02  CRI
Share with:

Dialog dan rundingan adalah satu-satunya jalan penyelesaian kepada krisis Ukraine, kata wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun.

Beliau menegaskan pendirian China berhubung situasi kemanusiaan di Ukraine dalam ucapannya ketika sesi kecemasan khas Perhimpunan Agung PBB, pada Khamis.

Zhang berkata, keadaan kemanusiaan di Ukraine yang semakin memburuk menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa, selain ramai turut kehilangan tempat berteduh.

“Keutamaan sekarang adalah pihak yang berkonflik bersabar dan bertenang, dan berusaha ke arah gencatan senjata bagi mencegah berlakunya krisis kemanusiaan secara besar-besaran,” ujarnya.

Mengenai pelibatan China dalam membantu meredakan krisis berkenaan, Zhang menyatakan, bantuan kemanusiaan berbentuk barangan keperluan sudah beberapa kali dihulurkan kepada Palang Merah Ukraine.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak terbabit supaya mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dalam usaha melindungi nyawa rakyat terutamanya kaum wanita dan kanak-kanak, serta memudahkan pemindahan dan operasi menyelamat.

Zhang turut mengakui, selain daripada ancaman COVID-19, kesan sampingan akibat krisis Ukraine juga dirasai di lingkungan global, sekali gus memberi tamparan kepada aktiviti ekonomi dan perdagangan, kewangan, tenaga, barang makanan dan rantai bekalan.

“Dialog dan rundingan merupakan satu-satunya pendekatan untuk mengakhiri krisis ini. Kami (China) akan terus terlibat secara membina dalam menyumbang ke arah penyelesaian yang aman,” katanya.