Inovasi Pertanian, Perkukuh Jaminan Sekuriti Makanan
Penggunaan teknologi moden dalam pertanian adalah penting untuk menjamin sekuriti makanan serta meningkatkan produktiviti hasil sektor pertanian.
Demikian ulas Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohd Rafii Yusop ketika diwawancara mengenai inovasi pertanian dan jaminan sekuriti makanan menerusi Agenda AWANI Asia, pada Sabtu.
Jelas beliau, fungsi teknologi moden adalah setara seperti penggunaan alat jentera dalam perladangan.
Menurut Mohd Rafii, elemen seperti pertanian pintar, Internet Kebendaan (IoT), dan pertanian tertutup dapat meningkatkan kecekapan pengurusan ladang termasuk penanaman, pembajaan, penuaian serta pengurusan penyakit dan perosak.
Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa elemen-elemen tersebut dapat mengurangkan kehilangan hasil semasa penuaian serta menjimatkan tenaga buruh.
Tambah Mohd Rafii, China yang menggalakkan projek mega dalam sektor pertanian dan membelanjakan sejumlah besar dana khusus dalam sekuriti makanan wajar dijadikan contoh.
Beliau berkata, kerajaan China bukan sahaja mempunyai hala tuju bagi menjamin sekuriti makanan untuk 1.4 bilion penduduknya, malah juga terhadap generasi akan datang.
“China telah jalankan projek mega bukan sahaja untuk industri, tapi dalam pertanian dari segi tanaman sayur-sayuran, buah-buahan serta ternakan haiwan dan ikan, semuanya dijalankan secara berskala besar.
“Mereka mempunyai program pertanian dan penyelidikan yang komprehensif. Banyak tenaga penyelidik dan pegawai yang melibatkan diri dalam sektor penyelidikan pertanian dan mereka juga komited untuk mencapai hasil penyelidikan berimpak tinggi,” ujar Mohd Rafii.