PBB Gesa Gencatan Senjata di Ukraine

2022-03-29 14:28:53  CRI
Share with:

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar gencatan senjata dilakukan serta-merta berikutan krisis kemanusiaan yang bertambah buruk di Ukraine.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung Antonio Guterres menerusi kenyataan pada Isnin, selepas melihat konflik antara Rusia dengan Ukraine meragut ribuan nyawa dan menyebabkan sepuluh juta orang hilang tempat berteduh.

Beliau menegaskan, krisis kemanusiaan perlu diatasi menerusi pendekatan politik.

“Gencatan senjata kemanusiaan perlu dilakukan segera bagi membolehkan rundingan politik dijalankan, sehingga mencapai perjanjian damai yang sepadan dengan Piagam PBB,” ujarnya.

Guterres menggesa pihak terbabit supaya menghentikan permusuhan bagi membolehkan barang bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mereka yang memerlukan selain melindungi keselamatan rakyat.