China, EU Ikrar Bentuk Sinergi Tangani Cabaran Global

2022-03-30 12:50:03  CRI
Share with:

Selaku dua kuasa utama dalam proses pembangunan dunia multipolar, China dan Kesatuan Eropah (EU) harus mengekalkan komunikasi strategik secara berkala, memperluas konsensus kerjasama dan membentuk sinergi menangani cabaran global.


Demikian kata Menteri Luar China, Wang Yi apabila mengadakan telesidang dengan Wakil Kanan EU bagi Dasar Luar dan Keselamatan, Josep Borrell pada Selasa.


Borrell menyetujui pandangan Wang dan berharap pertukaran peringkat tinggi kedua-dua pihak dapat terus mencapai hasil positif dalam fasa selanjutnya dengan menjunjung semangat solidariti dan bersahabat.


Beliau turut menekankan krisis Ukraine telah membawa impak serius kepada EU dan seluruh dunia.


Pihak-pihak terbabit digesa melakukan gencatan senjata secepat mungkin, membuka koridor kemanusiaan, serta tidak menggunakan senjata pemusnah besar-besaran (WMD).


“China diharap dapat terus memainkan peranan konstruktif bagi menggalakkan perdamaian di negara itu”, ujarnya.


Sementara itu, Wang menegaskan bahawa sekatan ekstrem hanya akan mengundang mudarat kepada semua pihak, malah meruncingkan lagi situasi.


“Adalah tidak adil dan tidak sah untuk membuat pihak-pihak yang tidak berkepentingan menanggung akibat peperangan,” kata Wang.


Tambah beliau, China bersedia bekerjasama dengan semua pihak ke arah menyelesaikan konflik Rusia-Ukraine dan memulihkan keamanan di rantau Eropah seawal mungkin.