China Anjur Dialog Untuk Isu Afghanistan

2022-04-01 14:45:00  CRI
Share with:

Dialog Menteri Luar kerajaan sementara Afghanistan dan negara-negara jirannya telah diadakan dengan dipengerusikan Menteri Luar China, Wang Yi di Tunxi, provinsi Anhui, pada Khamis.

 

Dialog tersebut turut dihadiri menteri luar dan wakil negara anggota mekanisme kerjasama penyelarasan negara jiran Afghanistan, pemangku Menteri Luar kerajaan sementara Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Muhammad, serta Menteri Luar Indonesia, Retno Lestari Priansari Marsudi.

 

Dalam dialog tersebut, Wang Yi menegaskan peri pentingnya mengekalkan kerjasama dan kesamarataan, di samping menentang konfrontasi dan hegemoni.

 

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa tidak patut mengabaikan isu Afghanistan dengan hanya memberi perhatian pada isu Ukraine, sebaliknya diseru untuk terus mengeluarkan bantuan kepada Afghanistan tatkala negara itu menghadapi kesukaran.

 

"Selain itu, pelbagai pihak perlu terus mencapai kata sepakat untuk menstabilkan situasi negara ini (Afghanistan), membanteras keganasan, membaikpulih kehidupan rakyat dan mengembangkan ekonomi," ujar Wang.

 

Sementara itu, Amir Khan Muttaqi turut menzahirkan penghargaan kepada China atas kesudian untuk menganjur dan mengundang pihaknya menghadiri dialog kali ini.

 

Beliau menekankan bahawa pihaknya menentang sebarang kuasa yang mahu menduduki wilayah Afghanistan, dan menentang mana-mana negara untuk mempergunakan wilayah Afghanistan.

 

"Kami akan berusaha mengembangkan hubungan persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan dengan negara jiran.

 

"Kami telah mengubahsuai gaya pentadbiran untuk merealisasikan kestabilan dan mendorong pembangunan serta berharap negara jiran agar memberi pengiktirafan diplomatik kepada kerajaan sementara negara ini dengan secepat mungkin," ujar beliau.

 

Muttaqi juga menggesa Amerika Syarikat (AS) segera membatalkan pembekuan aset Afghanistan di luar negara dan sekatan yang tidak rasional.

 

Menteri luar dan wakil dari pelbagai negara yang menghadiri dialog kali ini menyanjung tinggi terhadap China yang menyediakan wahana dialog untuk negara jiran dengan kerajaan sementara Afghanistan.

 

Peluang berdialog ini dipercayai telah meningkatkan persefahaman antara negara rantau tersebut khususnya negara yang berjiranan dengan Afghanistan.