Jepun Digesa Batal Keputusan Salah

2022-04-01 12:02:25  CRI
Share with:

Jepun digesa menarik balik keputusan untuk membuang air terawat dari loji janakuasa nuklear Fukushima ke laut.


Negara itu patut berunding dengan semua pihak berkepentingan dan pertubuhan antarabangsa berkaitan, serta meneliti kebaikan dan keburukan pelbagai rancangan pengurusan berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.


Hal ini bagi menjamin pengelolaan air sisa Fukushima dilakukan secara selamat, kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin dalam sesi taklimat pada Khamis.


Menurut media Jepun, empat pertubuhan bukan kerajaan di Fukushima dan Miyagi pada Rabu menyerahkan petisyen dengan kira-kira 180,000 tandatangan kepada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) dan Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) sebagai membantah keputusan berkenaan.


Sehubungan itu, Wang berkata keputusan Jepun membuang air tercemar ke laut tanpa meneliti kaedah pelupusan yang selamat serta tidak berkongsi maklumat berkaitan secara menyeluruh adalah sangat tidak bertanggungjawab.


Perbuatan seumpama bukan sekadar mengancam persekitaran laut seluruh dunia dan menyebabkan masyarakat antarabangsa terdedah kepada risiko tertentu, malah menjejaskan kesihatan, kesejahteraan dan hak pembangunan rakyat Jepun.


Jepun diharap memberi penjelasan yang munasabah kepada rakyatnya dan masyarakat antarabangsa secepat mungkin.