Kerjasama Satu-satunya Pilihan bagi China, AS

2022-04-01 12:58:49  CRI
Share with:


Kerjasama adalah satu-satunya pilihan tepat bagi China dan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kepentingan bersama besar.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Perdagangan, Shu Jueting dalam sidang media pada Khamis, sebagai respons terhadap isu ekonomi dan perdagangan membabitkan dua negara yang menjadi perbincangan hangat.

Shu mengkritik keputusan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS yang menyenaraikan syarikat China Telecom Americas dan China Mobile International USA Inc. sebagai pembekal tidak boleh dipercayai.

“Tindakan itu melanggar prinsip asas pasaran serta peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang diiktiraf secara universal, malahan mencabul hak dan kepentingan sah syarikat China dan juga pengguna AS,” ujarnya.

Beliau menggesa AS supaya segera membetulkan kesalahan, berhenti mempolitikkan isu ekonomi dan perdagangan, serta menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif kepada pelabur asing termasuk syarikat China.

Ketika ditanyakan tentang kenyataan wakil perdagangan AS Katherine Tai berhubung dasar perdagangan terhadap China, Shu menjawab dengan mengatakan, selaku ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), AS harus memastikan dasar dan amalan perdagangannya selaras dengan peraturan WTO.

Beliau turut mengingatkan negara itu jangan bertindak bertentangan dengan peraturan berkenaan, seperti meneruskan unilateralisme dan perlindungan atas nama dasar perdagangan baharu.

“Kami (China) berharap pihak AS dapat mengamalkan dasar ekonomi dan dagangan yang rasional dan pragmatik terhadap China.

“Negara itu perlu bergerak sehaluan dengan kami berasaskan prinsip saling hormat dan saling untung, ke arah hubungan dua negara yang sihat dan mantap,” katanya.

Dalam pada itu, Shu menegaskan ia bukan sahaja selaras dengan kepentingan asas China dan AS serta rakyat dua negara, malah aspirasi masyarakat antarabangsa.