Hubungan Mantap China-EU Penting bagi Kestabilan Dunia

2022-04-03 15:53:53  CRI
Share with:

China dan Kesatuan Eropah (EU) perlu berperanan sebagai dua kuasa utama bagi memelihara kedamaian dunia. Seruan itu dibuat Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan pertemuan secara maya dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Jumaat lalu.

Dengan bertukar-tukar pendapat secara terus terang dan ikhlas, kedua-dua pihak bukan sahaja mencapai kata sepakat dalam banyak isu, tetapi juga turut mengeluarkan mesej penting untuk berganding bahu memelihara kedamaian dan menggalakkan pembangunan.

Mesej itu amat signifikan bagi menangani ketidakstabilan dalam senario penularan pandemik COVID-19 dan tercetusnya konflik serantau pada ketika ini.

Sebagai dua pasaran yang berkapasiti besar dunia, kerjasama terbuka antara China dan EU juga akan membantu memantapkan pemulihan ekonomi global.

Pada 2020, China buat julung kalinya muncul sebagai rakan dagang terbesar EU.

Jumlah import dan eksport antara kedua-dua pihak mencipta rekod baharu dengan mencecah USD828.1 bilion pada 2021, iaitu naik 27.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pertemuan tersebut, pemimpin EU menzahirkan hasrat untuk memperkasakan lagi kerjasama dengan China bagi mendorong kedamaian dan pertumbuhan ekonomi dunia.

Kedua-dua pihak juga mencapai konsensus penting mengenai isu Ukraine, iaitu dialog damai dan saluran diplomatik perlu dipertahankan dalam penyelesaian masalah.

Menurut jadualnya, China dan EU akan mengadakan lima dialog peringkat tinggi dengan seawal mungkin, di samping bertukar-tukar pendapat secara menyeluruh mengenai isu-isu berkaitan bahan makanan, sumber tenaga dan dasar ekonomi makro.

Usaha bersama tersebut pasti akan menyuntik lebih banyak tenaga positif kepada kedamaian dan pembangunan dunia.