Jumlah Kontena 170 Ribu TEU Menerusi Pengangkutan Darat-Laut Barat China

2022-04-04 13:29:30  CRI
Share with:

Jumlah kontena yang dikendalikan perkhidmatan kereta api saluran pengangkutan darat-laut baharu di bahagian barat China merekodkan 170 ribu unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada tiga bulan pertama tahun ini, meningkat 56.5 peratus berbanding tempoh sama 2021.

Menurut China Railway Biro Nanning, penguatkuasaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menyaksikan saluran baharu untuk darat dan laut di barat China telah dimanfaatkan lagi menerusi dasar keutamaan.

Dengan pembukaan landasan kereta api "Emiriah Arab Bersatu (UAE)-Qinzhou-Lanzhou Asia Tenggara-Qinzhou-Xi’an", perkhidmatan logistik mengikut tempahan pelanggan kini semakin banyak dengan kargo bercirikan tempatan seperti gula keluaran India dan kenderaan import Asia Barat turut bertambah.

Setakat ini, 34 terminal landasan kereta api telah beroperasi di sepanjang saluran pengangkutan darat-laut baharu di barat China yang menghubungkan 14 provinsi dan wilayah di China dengan lebih 300 pelabuhan di 107 buah negara dan kawasan termasuk Singapura, Jepun dan Jerman.

Manakala, jumlah kategori kargo pula kini mencatat sebanyak 640 jenis dan menjadi penggerak kuat bagi pertumbuhan ekonomi di kawasan barat China.

Ini sekali gus menyaksikan bahawa pelancaran Paradigma Pembangunan Baharu oleh China bukan hanya menjadi enjin kepada kitaran tunggal iaitu pasaran domestik yang tertutup, malah juga terhadap 'dwi kitaran' iaitu kitaran domestik dan kitaran domestik-antarabangsa yang terbuka dan saling menggalakkan.