Jambatan Binondo-Intramuros Tingkatkan Tahap Prasarana Filipina: Duterte
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menyatakan bahawa Jambatan Binodo-Intramuros yang dibiayai China mampu mendorong negaranya untuk mempertingkat tahap infrastruktur asas.
Ketika menyampai ucaptamanya pada majlis perasmian jambatan itu pada Selasa, beliau menyifatkan ia sebagai kondusif dalam melancarkan lalu lintas di Manila, memudahkan perjalanan orang ramai, selain akan membantu pemulihan ekonomi di Filipina.
Duta China ke Filipina, Huang Xilian yang turut hadir pada majlis itu menyatakan bahawa jambatan itu merupakan penanda kemajuan baharu dalam penyelarasan antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China dengan pelan "Build, Build, Build" Filipina.
Justeru katanya, projek itu bermanfaat untuk memperkukuh kesalinghubungan setempat, memacu pemulihan ekonomi Filipina, selain merapatkan kepercayaan dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara.
Huang memberitahu bahawa lebih banyak projek kerjasama akan dilaksanakan untuk memberikan manfaat kepada rakyat.
Untuk rekod, Jambatan Binondo-Intramuros di Metro Manila, ibu negara Filipina merupakan salah satu daripada dua jambatan yang dibiayai oleh China selain Jambatan Estrella-Pantaleon yang telah dibuka pada Julai 2021.
Jambatan utama Binondo-Intramuros yang diusahakan China Bridge Construction Corporation mempunyai reka bentuk empat lorong dua hala, dengan panjangnya kira-kira 678 meter, dan aliran trafik harian purata akan mencecah 30,000 selepas dibuka.