Segerakan Gencatan Senjata di Ukraine: China

2022-04-06 14:28:45  CRI
Share with:

Meredakan situasi, mewujudkan gencatan senjata dan menamatkan peperangan merupakan harapan mendesak masyarakat antarabangsa termasuk China.

Demikian ujar Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun ketika menyatakan pendirian China tentang situasi di Ukraine pada sidang terbuka Majlis Keselamatan PBB pada Selasa. 

Beliau menyatakan China telah kerap kali menegaskan bahawa dialog dan rundingan merupakan satu-satunya cara untuk mewujudkan kedamaian.

"China mengalu-alukan Rusia dan Ukraine meneruskan rundingan damai, mengatasi kesulitan dan percanggahan agar menyediakan suasana baik bagi menyelesaikan krisis secara menyeluruh.

"China memberikan perhatian yang tinggi terhadap isu kemanusiaan di Ukraine dan menyokong sebarang inisiatif dan langkah untuk menyelesaikan krisis itu," tambah Zhang.

Beliau berkata, keperluan berkaitan kemanusiaan di Ukraine dan negara-negara sekelilingnya amat besar. Oleh yang demikian, badan kemanusiaan antarabangsa perlu bersikap berkecuali dan adil, serta aktif menyelaraskan lebih banyak sumber agar menyelamatkan lebih banyak nyawa dan melindungi rakyat jelata.

"China sudah dan akan terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Ukraine dan negara-negara jirannya," kata Zhang.

Menurut beliau, Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa memperuntukkan bahawa rakyat jelata perlu dielakkan daripada terlibat dalam sebarang keganasan akibat konflik bersenjata.

Justeru, Zhang mengatakan bahawa serangan terhadap rakyat jelata tidak boleh diterima dan patut dielakkan.

Beliau turut berpendapat bahawa krisis di Ukraine telah memberikan impak besar kepada dunia khususnya negara-negara membangun dan ia perlu diberi perhatian yang tinggi selain dikawal.

"Pada masa ini, globalisasi semakin rancak dan turut melibatkan nasib manusia yang saling berkongsi.

"Melaksanakan sekatan yang menyeluruh dan secara sembarangan adalah sama dengan mempolitik, memperalat dan mempersenjatai ekonomi dunia serta membawa krisis yang serius terhadap ekonomi, perdagangan, kewangan, sumber tenaga, makanan dan rantai bekalan industri global," tegas Zhang.

Beliau berkata, krisis tersebut akan menjejaskan pencapaian pembangunan masyarakat antarabangsa selama beberapa dekad, dan menjadikan rakyat semua negara mengalami kerugian yang tinggi.

Oleh itu, China menyeru Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengadakan dialog komprehensif dengan Rusia, menangani percanggahan, serta mendorong pembinaan rangka keselamatan serantau yang seimbang, berkesan dan berterusan.