Usaha Perlu Tertumpu kepada Gencatan Senjata

2022-04-07 14:42:41  CRI
Share with:

Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa meredakan ketegangan situasi di Ukraine dan mewujudkan gencatan senjata secepat mungkin merupakan hasrat masyarakat antarabangsa dan juga aspirasi China.

Majlis Keselamatan PBB pada 5 April lalu mengadakan sesi terbuka mengenai situasi di Ukraine dengan "Peristiwa Bucha" menjadi tumpuan para peserta.

Berhubung dengan peristiwa tersebut, China berpendapat, sebarang tuduhan perlu berdasarkan fakta. Pelbagai pihak disarankan menahan diri dan bertenang bagi mengelakkan tuduhan yang tidak berasas.

Sikap yang rasional dan objektif ini patut dijadikan panduan bagi masyarakat antarabangsa untuk menangani peristiwa berkenaan.

Baru-baru ini, pihak Ukraine mengumumkan sejumlah gambar dan klip video untuk menuduh Rusia melakukan jenayah perang kerana membunuh rakyat jelata di pekan Bucha, manakala pihak Rusia menafikan tuduhan itu dengan mendakwa apa yang disebut bukti “jenayah perang” itu muncul setelah Rusia mengundurkan pasukan tentera dari pekan itu, dan selepas ketibaan pihak tentera dan media Ukraine.

Bagaimanapun, peristiwa tanpa keputusan siasatan muktamad ini telah menjadi dalih bagi sesetengah negara Barat termasuk Amerika Syarikat(AS) mengenakan siri sekatan pusingan baharu terhadap Rusia.

China berpendapat, isu kemanusiaan tidak sewajarnya dipolitikkan. Serangan terhadap rakyat jelata tidak dapat diterima, di saming itu keadaan terperinci dan punca peristiwa itu pula perlu dijelaskan melalui siasatan.

Pelbagai pihak disarankan mengelakkan tindakan mengapi-apikan situasi menjadi lebih tegang dengan bermotifkan politik sendiri sebelum keputusan siasatan tercapai bagi memberi tanda hormat kepada mangsa yang terbunuh serta mengelakkan lebih banyak masalah kemanusiaan daripada berlaku.