Xi: Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing Terbukti Selamat dan Cemerlang

2022-04-08 15:24:54  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menghadiri majlis pengiktirafan sumbangan cemerlang untuk badan dan individu dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk 2022 yang diadakan di Dewan Besar Rakyat di Beijing pagi tadi.


Ketika menyampaikan ucap tama, Xi berkata, berlangsungnya acara pertandingan yang menarik dalam temasya sukan kali ini telah mendapat penilaian positif masyarakat antarabangsa. Di samping itu, fasiliti yang berkelas dunia di tiga zon pertandingan, kerja organisasi yang rapi dan profesional, perkhidmatan yang mesra dan berkualiti telah mendapat pujian dari pelbagai pihak peserta.

“Temasya Sukan kali ini berjaya menarik beberapa bilion penonton, sekali gus menyaksikan tercapainya satu rekod baharu iaitu kadar tontonan yang paling tinggi dalam sejarah Sukan Olimpik Musim Sejuk.

“Rakyat China bersama dengan rakyat pelbagai negara lain berjaya mengharungi pelbagai kesukaran dan cabaran dalam menganjurkan temasya sukan yang berprestasi cemerlang dan membawa makna sejarah, selain berkongsi kemuliaan semangat Olimpik,” kata Xi.

Kejayaan Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing dilihat bukan sahaja boleh mendorong interaksi tamadun yang berlainan, meningkatkan perpaduan dan kerjasama rakyat pelbagai negara, membina keyakinan dan membawa harapan kepada dunia yang berada dalam pergolakan, tetapi juga membuktikan rakyat China mempunyai aspirasi dan bertekad untuk mendorong perkembangan sukan Olimpik dan menyumbang kepada pemupukan perpaduan dan persahabatan rakyat seluruh dunia.

Untuk rekod, penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing juga mendapat bantuan dan sokongan dari pertubuhan antarabangsa termasuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, selain kerajaan, rakyat pelbagai negara dan sahabat handai antarabangsa,

Xi menambah, China akan terus mengamalkan pembaharuan dan inovasi dalam sektor sukan, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi, meningkatkan keupayaan komprehensif dan daya saingan di arena antarabangsa bagi mempercepat langkah ke arah meningkatkan kehebatan negara dalam bidang sukan.