Perhimpunan Agung PBB Gantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia

2022-04-08 12:29:05  CRI
Share with:

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan satu resolusi pada Khamis untuk menggantung keanggotaan Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Daripada 193 anggota pertubuhan itu, 93 mengundi menyokong penggantungan yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS), manakala 24 menentang dan 58 berkecuali. China mengundi menentang draf resolusi tersebut.

Semasa berucap sebelum menjalankan pengundian, wakil tetap China ke PBB Zhang Jun mendakwa draf resolusi itu tidak dirangka secara terbuka dan telus sebelum mengundi dan tanpa konsultasi dengan semua anggota untuk mendengar pendapat semua pihak menurut kelaziman.

"Tindakan yang terburu-buru diambil Perhimpunan Agung dan memaksa pelbagai negara memihak dengan segera akan memburukkan keadaan perpecahan antara negara anggota dan memperhebatkan percanggahan antara pihak-pihak yang berkenaan, malah akan mengapi-apikan situasi menjadi lebih tegang lagi bahkan tidak kondusif bagi menggalakkan rundingan damai," kata Zhang.

Zhang juga menyifatkan kaedah menangani isu keanggotaan Majlis Hak Asasi Manusia sedemikian sebagai contoh baharu yang berbahaya yang dilihat akan menyebabkan peningkatan konfrontasi dalam bidang hak asasi manusia serta membawa kesan yang lebih buruk terhadap sistem tadbir urus PBB.