Xi Adakan Perbualan dengan Presiden Filipina Menerusi Telefon
Presiden China Xi Jinping mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Rodrigo Duterte melalui telefon pada Jumaat.
Xi menegaskan bahawa China mengekalkan kesinambungan dan kestabilan dalam pelaksanaan dasarnya terhadap Filipina, dan bersedia bekerjasama dengan Filipina untuk mengembangkan hubungan dua hala yang berterusan dan kukuh.
“China bersedia untuk terus menyediakan vaksin COVID-19 ke Filipina jika perlu, dan mengukuhkan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan ubat-ubatan tertentu dan pembinaan keupayaan kesihatan awam.
“China juga bersedia untuk mempromosikan pembinaan projek-projek mega dan meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, serta pertukaran sosiobudaya dengan Filipina, selain mengimport lebih banyak produk berkualiti, menggalakkan perusahaan China melabur dan menjalankan perniagaan di Filipina, bagi menyumbang kepada proses pemodenan negaranya.” kata Xi.
Xi juga menegaskan bahawa China komited bekerjasama dengan Filipina dan negara-negara serantau yang lain untuk mempertahankan konsep keselamatan yang bersama, komprehensif, koperasi dan mampan, menjamin keselamatan serantau, dan bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan yang tidak mudah terwujud di rantau ini, sekali gus membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Rodrigo Duterte berkata, China adalah sahabat yang sebenar dan boleh dipercayai rakyat Filipina. Pihaknya bersedia untuk meningkatkan persahabatan dan kerjasama dengan China, memperkukuh hubungan bilateral, menimba pengalaman China dalam usaha membasmi kemiskinan, dan menggalakkan kerjasama dalam bidang menangkis pandemik, ekonomi dan perdagangan, infrastruktur, pelancongan dan pendidikan.
“Filipina mengalu-alukan syarikat China melabur dan nmenjalinkan kerjasama di negaranya, di samping bersedia bekerjasama dengan China untuk menangani isu-isu Laut China Selatan dengan baik, berusaha menjadi contoh kepada penyelesaian perselisihan secara aman dan mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau,”kata Duterte.
Beliau menambah, Filipina juga bersedia memainkan peranan positif dalam perkembangan hubungan ASEAN-China.