TCM: FCPAAM Harap Kerjasama Malaysia-China Diperhebat

2022-04-11 09:32:13  CRI
Share with:

 

Persatuan Tabib Orthopedik Tradisional Cina dan Akupunktur Malaysia (FCPAAM), berharap agar kerajaan Malaysia  dan China dapat bekerjasama bagi membina sebuah hospital perubatan tradisional Cina (TCM).

 

Menurut Presidennya, Profesor Dr. Ng Po Kok, kekangan yang dihadapi ketika ini adalah penuntut jurusan TCM tidak dapat melakukan amalan klinikal berikutan ketiadaan hospital khusus untuk TCM.

 

Justeru beliau berkata, dengan wujudnya sebuah hospital TCM, ia sekali gus membolehkan penuntut perubatan TCM melakukan amali berbanding hanya mempelajari teori sahaja.

 

Pada masa sama, Ng juga ingin melihat kerjasama antara Malaysia dan China bagi memajukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) perubatan itu di Malaysia.

 

Jelas beliau, ia berikutan pengaplikasian TCM di Malaysia masih memerlukan laporan yang banyak dari pakar selain turut mampu membawa manfaat yang besar kepada rakyat.

 

Ng berkata, kesemua perkara tersebut tidak mampu dilakukan oleh pihak swasta tanpa sokongan kerajaan.