RCEP Bawa Limpahan Manfaat kepada Perusahaan

2022-04-11 15:25:47  CRI
Share with:

Memasuki hari ke-100 penguatkuasaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perusahaan di China dilihat telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memajukan perniagaan. 

Di provinsi Hebei, sebanyak 1,257 perakuan tempat asal (certificate of origin) perdagangan bebas berorientasikan RCEP telah dikeluarkan pada suku tahun pertama melibatkan kargo bernilai lebih RMB545 juta (RM361 juta).

Ia sekali gus mengurangkan bayaran tarif sebanyak kira-kira RMB27.3 juta (RM18.1 juta) bagi syarikat tempatan.

Hu Haining, pengurus besar sebuah syarikat buah-buahan di Shijiazhuang, ibu kota provinsi Hebei memberitahu bahawa pihaknya baru sahaja mendapat perakuan tempat asal RCEP untuk pengeksportan ke Malaysia.

Menurut beliau, kini syarikatnya boleh menikmati status bebas tarif apabila mengeksport pear segar ke Malaysia. 

Di Chongqing pula, hampir 300 sijil perdagangan RCEP telah dikeluarkan kepada pelbagai syarikat bandar itu, dengan melibatkan kargo yang bernilai melebihi USD207 juta (RM875 juta). 

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa Kementerian Perdagangan China, Yu Benlin berkata, RCEP bukan sahaja merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang terbesar di dunia, malah ia merupakan FTA yang bersifat menyeluruh, moden, berkualiti tinggi dan saling untung.

Jelasnya, pelaksanaan RCEP akan memacu pertumbuhan ekonomi, selain menambah baik iklim perniagaan serta memperkukuh rantaian perindustrian dan bekalan serantau.