AS Pencetus Kesengsaraan di Dunia

2022-04-12 15:21:00  CRI
Share with:

Makmal biologi Amerika Syarikat (AS) di Ukraine turut menjadi tumpuan perhatian masyarakat antarabangsa sejak tercetusnya konflik antara Rusia dengan Ukraine.

Menurut satu dokumen yang didedahkan Kementerian Pertahanan Rusia pada Mac, AS dan sekutunya dari Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menjalankan penyelidikan senjata biologi di Ukraine.

Ia termasuk dengan menggunakan virus selesema burung H5N1 yang kadar kematiannya sekitar 50 peratus serta virus Newcastle.

Berdepan dakwaan tersebut, AS mengeluarkan beberapa kenyataan yang bercanggahan dengan kata-kata sendiri, selain turut tergesa-gesa memusnahkan catatan dan bukti yang berkaitan.

Hakikatnya, makmal biologi di Ukraine hanya merupakan sebahagian daripada jaringan makmal biologi kendalian AS di dunia.

Merujuk kepada data yang dikeluarkan AS, negara itu mengawal 336 makmal biologi di 30 buah negara yang kebanyakannya berada di Komanwel Negara-Negara Merdeka, Asia Barat, Asia Tenggara dan Afrika.

Pada 2018, mantan Menteri Keselamatan Georgia, Igor Panteleimonovich Giorgadze mendakwa makmal biologi AS di negara itu pernah menjalankan ujian di tubuh badan manusia, sehingga menyebabkan kematian ramai peserta.

Pada 2019, petugas di pelabuhan Busan, Korea Selatan mendapati tentera AS menghantar banyak virus dan kuman yang boleh dijadikan senjata biologi ke negara itu, tanpa memberi sebarang makluman.

Sambil menekan negara lain untuk menjalankan kerjasama biologi yang amat berbahaya, AS juga tidak melepaskan peluang untuk mencetuskan kesengsaraan dengan menyebarkan ideologi.

Demi memperkukuh kedudukan hegemoninya, AS giat menjajakan “nilai universal” kepada negara lain atas nama “demokrasi” dan "kebebasan”.

Jabatan Negara AS mengakui bahawa mereka berperanan membangkitkan “revolusi warna” di beberapa negara dalam tempoh dua dekad lalu, termasuk di Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan.

Negara-negara yang menerima “demokrasi” AS itu bukan sahaja gagal mewujudkan kemakmuran, sebaliknya terjerumus ke lembah pergolakan politik dan kemerosotan ekonomi.

Mentaliti perang berakar dalam genetik AS. Apabila timbul rasa bimbang terhadap kebangkitan negara membangun, AS akan bertindak mempertahankan kedudukan hegemoni sendiri dengan mengorbankan kepentingan negara lain.