Duta China Seru Multilateralisme Sebenar dalam Melawan COVID-19

2022-04-12 14:59:01  CRI
Share with:


Wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun menyeru agar multilateralisme sebenar dipraktikkan dalam perjuangan global melawan COVID-19 dan pemulihan pasca pandemik.

Beliau berkata, seramai enam juta orang meninggal dunia akibat COVID-19, dan ia merupakan pengajaran yang patut direnungkan dengan mendalam.

“Nyawa tidak ternilai dan tiada ganti. Pendekatan berpusatkan rakyat merupakan prinsip terpenting yang membimbing keputusan kita,” katanya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berhubung COVID-19 dan vaksin pada Isnin.

Zhang berpendapat bahawa sinergi dan solidariti adalah kunci utama kejayaan dalam menewaskan pandemik, selain turut berkesan dalam menangani cabaran global lain.

“Pandemik ini menunjukkan sinar di hujung terowong, tapi belum berakhir, dan kita tak boleh terleka.

“Usaha membina ‘benteng imunisasi’ perlu diperkasakan. Kadar vaksinasi di peringkat global jauh lebih rendah berbanding sasaran 70 peratus oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujarnya.

Tegas Zhang, adalah penting untuk meningkatkan bantuan dan bekalan vaksin kepada negara yang memerlukan serta memastikan tiada negara yang ketinggalan.

“Kami (China) merancang membekalkan vaksin tambahan satu bilion dos kepada Afrika, 150 juta dos untuk negara ASEAN, manakala sumbangan 50 juta dos menyasar negara Asia Tengah,” jelas beliau.

Selain membantu negara dalam memperoleh vaksin, China juga merintis usaha untuk memberikan pengecualian hak harta intelek (IP) bagi produk kesihatan awam itu.

Menerusi pemindahan teknologi, China menjalin kerjasama dengan 20 buah negara, dengan kapasiti pengeluaran satu bilion dos setiap tahun.

Kini, persetempatan merupakan antara langkah penting dalam memacu peningkatan pengeluaran bekalan vaksin di negara membangun.

Syarikat pembekal vaksin China menembusi pasaran antarabangsa dengan membangunkan kilang pembuatan seperti di Indonesia dan Kemboja untuk membantu negara berkenaan meningkatkan kapasiti pengeluaran vaksin.